Laman Utama

Dalil Kesatuan Siyaq Dalam Ayat 33, Surah Al-Ahzab

Dalam Surah Hud: 70-73 itu ada kesatuan siyaq iaitu tentang kisah Nabi Ibrahim dan isterinya Sarah yang telah tua dan kemudian diberitahu oleh Malaikat akan dikurniakan putera iaitu Nabi Isyak dan kemudian darinya ialah Nabi Yaakub.  Justeru, istilah ahlul bait dalam ayat ini ditujukan kepada keluarga Nabi Ibrahim termasuklah Nabi Ibrahim, Sarah yang akan melahirkan Nabi Ishak dan dari zuriat Nabi Ishak akan lahir Nabi Yaakub, dan sudah tentu Nabi Ishak dan Yakub juga termasuk dalam istilah ahlul bait bagi keluarga Nabi Ibrahim. Maka penggunaan dhamir tazkir “kum” iaitu ‘alaikum ahlal bait’ memanglah sesuai kerana kaedah Bahasa Arab jika lelaki bercampur dengan perempuan digunakan dhamir tadzkir. Dan kata ‘ahli’ tidak merujuk perempuan sahaja sebaliknya bercampur lelaki dan perempuan dalam ayat tersebut.

 

Sebaliknya  32-33 dalam Surah al-Ahzab tidak membuktikan kesatuan siyaq (wahdah as-siyaq) kerana ayat 32 menggunakan dhamir muaanathan /perempuan sedangkan ayat 33 dhamir tadzkir/lelaki. Kerana kesatuan siyaq menuntut adanya kesatuan dalam bentuk dhamir sehingga ayat tersebut berbunyi: ‘Innama yuridullahi yudhiba ‘ankunnarijsa wayutahirukunna tahthira’ dan tidak ‘ankum dan yutahirukum’ supaya sesuai dengan ayat 32 berbunyi ‘inniq-taqaitunna’…, dan bahagian pertama ayat 33, ‘wa qarna-fibuyutikunna dst…’ Maka dengan topik perbicaraan yang tidak mengarah kepada wahdah as-siyaq/kesatuan maka tidak ada alasan untuk menjadikan kesatuan siyaq sebagai dalil.

 

Hal ini diperkuatkan dengan dalil-dalil dari hadith-hadith Nabi SAWAW yang disebutkan seperti dalam Sahih Muslim, VII, hlm. 130, al-Dur al-Manthur, V, hlm. 198, Mustadrak, III, hlm. 146, dan lain-lain yang menyebutkan tentang asbabul nuzul Surah 33: 33 tersebut tanpa memasukkan isteri-isteri Nabi SAWAW.  Zaid b. Arqam dalam Sahih Muslim meriwayatkan:

“Hashin berkata, “Siapakah ahlul bait Rasulullah SAWAW itu, wahai Zaid? Apakah mereka isteri-isterinya (Nabi)?”

Zaid menjawab: “Tidak demi Allah…sesungguhnya wanita bersama lelaki tidak selamanhya, kerana jika ditalak maka dia akan kembali kepada bapak dan kaumnya. Adapun yang dimaksudkan dengan ahlul baitnya ialah nasabnya, yang sedekah diharamkan atas mereka sepeninggalannya (Nabi).”

 

Demikian juga riwayat Umm Salamah juga tidak memasukkan isteri-isteri Nabi dalam ahlul bait as. Ali bin Musa al-Rida bin Jafar bin Muhammad bin Ali bin Husayn bin Ali bin Abi Talib ketika berdialog dalam majlis al-Makmun juga menjelaskan maksud ahlul bait tanpa isteri-isteri Nabi SAWAW. Bermakna keturunan Nabi SAWAW sendiri memahami konsep ahlul bait sebagaimana yang diterangkan dalam al-Qur’an Surah 33: 33 dan hadith-hadith Nabi SAWA yang banyak itu.

 

Riwayat Ikramah yang menentang konsep ahlul bait dengan memasukkan isteri Nabi SAWA adalah asing dan tidak boleh dipercayai dengan bertentangan dengan banyak hadith dan al-Qur’an. Ikramah menisbahkan pendapatnya kepada Ibn Abbas. Sedangkan anak Ibn Abbas iaitu Ali bin Abdullah bin Abbas beranggapan Ikramah banyak menyandarkan hadith-hadith kepada bapanya sedangkan ia adalah dusta. Abdullah bin Harith berkata, “Aku datang ke rumah Ibn Abdullah bin Abbas dan nampak Ikramah terikat di atas pintu. Aku bertanya kepada Ibn Abdullah bin Abbas, ‘Apa yang engkau lakukan terhadapnya? Ali bin Abdullah bin Abbas berkata, “Dia telah berdusta atas nama ayahku.” (Wafayat al-A’yan, hlm. 320). Ibn Musayyab berkata kepada hambanya, “Jangan engkau membohongi aku sebagaimana Ikramah membohongi Ibn Abbas. Ibn Umar juga mengatakan hal yang sama kepada hambanya Nafi. (al-Kalimah al-Gharra, hlm. 215).  Begitu juga riwayat dari Muqatil sama standardnya dengan Ikramah.

 

Justeru tidak ada ruang untuk menerima pendapat yang bertentangan dengan maksud hadith-hadith tentang konsep ahlul bait as yang sebenarnya.