Sikap Rasulullah SAWA Terhadap Fatimah AH

Rasulullah mengaitkan Fatimah AH dengan dirinya SAWA. Justeru Rasulullah SAWA bersabda yang bermaksud:

" Fatimah adalah daripadaku dan barang siapa yang membuat dia marah, akan membuat aku marah." [Al-Bukhari, Jilid V, hadith 111]

Ketika berpergian, Fatimah AH adalah orang yang paling akhir beliau SAWA mengucapkan selamat tinggal, dan ketika pulang dia (Fatimah AH) adalah orang yang pertama yang ditemui oleh ayahya SAWA. [Bihar, Jilid 43, hlm.39-40; Ahmad bin Hanbal, Musnad, Juzuk 5, hlm.275; Al-Baihaqi, Sunan, Juzuk 1, hlm.26].

Imam Ali AS suatu ketika bertanya kepada Rasulullah SAWA:

" Wahai Rasulullah! Siapakah di kalangan keluargamu yang paling dekat denganmu? Fatimah binti Muhammad," jawab baginda SAWA.
[Al-Tabari, Dhakair al-Uqba; Al-Tirmidzi, Sunan. hlm.549; Al-Mustadrak, Jilid 3, hlm.21 dan 154]

Imam Ali AS Dan Fatimah AH

Imam Ali AS berkata:

" Aku bersumpah bahawa aku tidak pernah membuat Fatimah AH berasa bimbang dan takut di sepanjang kehidupan keluarga kami. Beliau AH tidak pernah marah semasa beliau AH hidup atau aku memaksa beliau AH melakukan sesuatu dengan paksaan. Beliau AH sentiasa taat kepadaku secara rela dan tidak pernah membuatkan aku marah. Memandang wajahnya membuatku sentiasa tertarik (bahagia) sehingga setiap perasaan marah akan hilang dalam diriku." [Bihar, Juzuk, 43, hlm.134]

Imam al-Baqir AS berkata:

" Fatimah AH telah berjanji akan melakukan semua kerja rumah termasuklah membuat roti dan menyapu rumah mereka. Ali AS pula bersetuju untuk melakukan kerja-kerja membeli-belah (keperluan harian), dan kerja-kerja luar yang lain seperti mencari kayu api, dan sebagainya. Pada suatu hari Ali AS bertanya Fatimah AH sama ada masih ada makanan yang berbaki di rumah mereka. Fatimah AH menjawab:" Aku bersumpah dengan namaNya yang membuat kemurahan dan anugerah kepadamu bahawa sejak tiga hari kebelakangan ini kita menghadapi kekurangan makanan." Mengapakah engkau tidak menyatakan kepadaku hal ini?" tanya Ali AS. Beliau AH menyambung: " Rasulullah SAWA telah melarangku daripada meminta-minta sesuatu daripadamu. Beliau SAWA telah memerintahkan kepadaku agar jangan meminta daripadamu sebarang keperluan. Jika engkau membeli sesuatu aku hendaklah menerimanya, dan jika tidak hendaklah aku berdiam diri." [Bihar, Jilid 43, hlm.31]

Kehidupan Politik Fatimah AH

Kehidupan Fatimah AH bukan hanya melakukan tugas sebagai suri rumah tangga dan beribadat sahaja tetapi juga meliputi soal-soal politik sejak dari zaman ayahandanya Rasulullah SAWA di Mekah hingga selepas wafat ayahandanya SAWA. Beliau AH dengan gigih menyokong keras perjuangan ayahandanya Rasulullah SAWA dan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Islam yang telah dididik oleh ayahandanya Rasulullah SAWA.

Pada tahun kesepuluh kerasulan, Khadijah ibu Fatimah AH meninggal dunia. Fatimah AH kehilangan ibundanya yang tercinta. Pada tahun yang sama, beliau AH kehilangan datuk saudaranya Abu Talib yang kuat melindungi Rasulullah SAWA. Dengan kewafatan dua orang insan mulia ini, para musyirikin Quraisy mulai berani menentang dan menyakiti Rasulullah SAWA secara terbuka. Sehinggakan pada suatu peringkat mereka sanggup memutuskan untuk membunuh Rasulullah SAWA. Justeru, Rasulullah SAWA membuat keputusan berhijrah ke Madinah. Malam itu Ali AS tidur di tempat tidur Rasulullah SAWA demi untuk mengelirukan musuh-musuh Allah itu. Pada malam itu juga Fatimah menginap di rumah ayahandanya dan mengetahui semua kejadian tersebut. Fatimah bertahan pada malam itu dengan penuh perjuangan, kesabaran, dan keberanian segala kemungkinan yang akan berlaku kepada mereka.

Fatimah AH kemudian berhijrah ke Madinah dengan rombongan hijrah di ketuai oleh Ali AS. Dalam perjalanan ke Madinah, beberapa orang kafir mencuba untuk menghalang mereka tetapi dengan keberanian dan tekad Ali AS, maka mereka berasa takut dan membiarkan rombongan hijrah itu meninggalkan Mekah. Akhirnya setelah menempuh segala kesulitan, mereka pun sampai ke Madinah.

Fatimah AH turut menjadi saksi Perang Badar dan Perang Uhud. Dalam Perang Uhud, dahi, dan gigi Nabi SAWA luka parah. Dan yang lebih menyedihkan ialah apabila tersebarnya berita palsu bahawa Rasulullah SAWA turut terkorban. Fatimah AH berangkat ke Uhud untuk menyaksikan medan pertempuran, dan juga melihat ayahandanya yang dikasihi Rasulullah SAW. Setelah perang berakhir, Fatimah AH menemui ayahandanya Rasulullah SAWA, dan membersihkan wajah baginda dari luka-luka. Dalam peperangan ini juga, Fatimah AH menyaksikan datuk datuk saudaranya Hamzah syahid di medan perang.

Selepas Rasulullah SAWA wafat, Fatimah AH turut memperjuangkan hak Imam Ali AS sebagai khalifah yangh sah dilantik oleh Rasul SAWA dan juga tentang haknya terhadap Tanah Fadak. Fatimah tidak mengiktiraf Abu Bakar sebagai khalifah yang sah. Pada suatu ketika Abu Bakar dan Umar al-Khattab bersama rombongannya mengepung rumah Fatimah AH dengan tujuan mendesak ahli rumah rumah memberikan bai'ah kepada Abu Bakar. Malahan Rombongan tersebut mengugut akan membakar rumah tersebut. Seseorang bertanya Umar: " Wahai ayah Hafsah (Umar al-Khattab, sesungguhnya Fatimah ada di dalam," dan Umar menjawab,: "Wa in (sekalipun)"[Ibn Qutaibah, Al-Imamah Wal-Siyasah, Jilid I, hlm.12-13]. Fatimah AH kemudian keluar dari pintu dari berkata lantang:"Hai, Abu Bakar, Alangkah cepatnya anda menyerang keluaga Rasul. Demi Allah, saya tidak akan bercakap dengan Umar sampai saya menemui Allah...Kamu semua telah membiarkan jenazah Rasulullah SAWA bersama kami, dan kamu semua telah mengambil keputusan antara kamu sendiri tanpa bermesyuarat dengan kami dan tanpa menghormati hak-hak kami. Demi Allah, aku katakan, keluarlah kamu semua dari sini dengan segera! Jika tidak dengan rambutku yang kusut ini, aku akan meminta keputusan dari Allah!"[Ibn Abil Hadid, Syarh Nahjul Balaghah, Jilid VI, hlm.48-49]

Fatimah AH menganggap Tanah Fadak sebagai miliknya yang sah kerana ia telah diberikan oleh Rasul SAWA ketika baginda SAWA masih hidup. Tanah Fadak terletak dekat dengan Khaibar dan disitu terdapat kebun kurma. Ia kemudian diserahkan oleh Bani Nadir kepada Rasulullah SAWA iaitu selepas peristiwa Perang Khaibar pada tahun 7 Hijrah. Kemudian Rasulullah SAWA menghadiahkan tanah tersebut kepada Fatimah AH [riwayat dari Abu Sai'd al-Khudri - sila lihat Fada'il Khamsah fi al-Sihah al-Sittah, Jilid 3, hlm.36] iaitu apabila turunnya ayat Qur'an yang bermaksud," Apa sahaja harta rampasan (fa'i) yang diberikan Allah kepada RasulNya yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan orang-orang yang dalam perjalanan supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu terimalah ia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah, dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya." (59:7) .

Fatimah AH menuntut Tanah Fadak dari Abu Bakar tetapi Abu Bakar menolaknya. Fatimah AH lalu menemui Abu Bakar dan terjadilah perdebatan di antara mereka berdua: Al-Jauhari meriwayatkan bahawa ketika sampai berita kepada Fatimah AH bahawa Abu Bakar menolak haknya ke atas Tanah Fadak, maka Fatimah AH dengan disertai para pembantu wanitanya dan para wanita Bani Hasyim pergi menemui Abu Bakar. Fatimah AH berjalan dengan langkah seperti langkah Rasul. Ia lalu memasuki majlis yang dihadiri Abu Bakar, dan penuh dengan kaum Muhajirin dan Ansar. Fatimah membentangkan kain tirai antara dia dan kaum wanita yang menemaninya di satu sisi,dan majlis yang terdiri dari kaum lelaki di sisi yang lain. Ia masuk sambil menangis tersedu, dan seluruh hadirin turut menangis. Maka gemparlah pertemuan itu. Setelah suasana kembali tenang, Fatimah AH pun berbicara:
" Saya memulai dengan memuji Allah Yang Patut Dipuji. Segala Puji bagi Allah atas segala nikmatNya, dan terhadap apa yang diberikanNya..." dan setelah mengucapkan khutbahnya yang sungguh indah, ia lalu berkata:

" Fatimah AH:" Apabila anda mati, wahai Abu Bakar, siapakah yang akan menerima warisan anda?"
Abu Bakar:" Anakku dan keluargaku."
Fatimah AH:" Mengapa maka anda mengambil warisan Rasul yang menjadi hak anak dan keluarga beliau?"
Abu Bakar:" Saya tidak berbuat begitu, wahai putri Rasul."
Fatimah AH:" Tetapi anda mengambil Fadak, hak Rasulullah yang telah beliau berikan kepada saya semasa beliau masih hidup....Apakah anda dengan sengaja meninggalkan Kitabullah dan membelakanginya serta mengabaikan firman Allah yang mengatakan," Sulaiman mewarisi dari Daud " (Al-Naml: 16), dan ketika Allah mengisahkan tentang Zakaria serta firman Allah, Dan keluarga sedarah lebih berhak waris mewarisi menurut Kitabullah?(Al-Ahzab:6) Dan Allah berwasiat, " Bahawa anak lelakimu mendapat warisan seperti dua anak perempuan" (Al-Nisa:11) dan firman Allahj," Diwajibkan atas kamu apabila salah seorang daripada kamu akan meninggal dunia, jika ia meninggalkan harta, bahawa ia membuat wasiat bagi kedua orang tua dan keluarganya dengan cara yang baik, itu adalah kewajipan bagi orang-orang yang bertaqwa" (Al-Baqarah: 80).
Apakah Allah mengkhususkan ayat-ayat tersebut kepada anda dan mengecualikan ayahku daripadanya? Apakah anda lebih mengetahui ayat-ayat yang khusus dan umum, lebih daripada ayahku dan anak bapa saudaraku (Ali AS) Apakah anda menganggap bahawa ayahku berlainan agama dariku, dan lantaran itu maka aku tidak berhak menerima warisan?" [Ibn Abil Hadid, Syarh Nahjul Balaghah, Jilid XVI, hlm.249]

Ibn Qutaibah meriwayatkan pertemuan yang mungkin terakhir di antara Fatimah AH dan Abu Bakar seperti berikut:
" Umar bin Khattab berkata kepada Abu Bakar:" Marilah kita pergi kepada Fatimah, sesungguhnya kita telah menyakiti hatinya."
Maka keduanya pun pergi ke rumah Fatimah AH, dan Fatimah AH tidak mengizinkan mereka masuk ke dalam rumah. Mereka lalu memohon kepada Ali bin Abi Talib, lalu Ali AS memperkenankan mereka masuk ke dalam.
" Tatkala keduanya duduk dekat Fatimah AH, Fatimah AH memalingkan wajahnya ke arah dinding rumah. Salam Abu Bakar dan Umar tidak dijawabnya.
Fatimah AH kemudian berkata:" Apakah anda boleh mendengar apabila saya katakan kepada anda suatu perkataan yang berasal dari Rasulullah SAWA yang anda kenal dan anda telah bertemu beliau SAWA?"
Keduanya menjawab: " Ya."
Kemudian Fatimah AH berkata:" Apakah anda tidak mendengar Rasulullah SAWA bersabda," Keredhaan Fatimah adalah keredhaan saya, dan kemurkaan Fatimah adalah kemurkaan saya. Barang siapa mencintai Fatimah, anakku, bererti ia mencintaiku, dan barang siapa membuat Fatimah murka, bererti ia membuat aku murka."
Mereka berdua menjawab:" Ya, kami telah mendengarnya dari Rasulullah SAWA.
Fatimah AH berkata:" Aku bersaksi kepada Allah dan malaikat-malaikatNya, sesungguhnya kamu berdua telah membuat aku marah, dan kamu berdua tidak membuat aku redha. Seandainya aku bertemu Nabi SAWA, aku akan mengadu kepada beliau SAWA tentang kamu berdua.
Abu Bakar berkata:" Sesungguhnya saya berlindung kepada Allah dari kemurkaanNya dan dari kemurkaan anda, wahai Fatimah."
Kemudian Abu Bakar menangis, hampir-hampir jiwanya menjadi goncang.
Fatimah lalu berkata:" Demi Allah, selalu saya akan mendoakan keburukan terhadap anda dalam setiap solat saya."
Kemudian Abu Bakar keluar sambil menangis....[Ibn Qutaibah, Al-Imamah Wal-Siasah, Bab Bagaimana Bai'at Ali bin Abi Talib; O.Hashem, Saqifah Awal Perselisihan Ummat, hlm.100-101]

Halaman 3