Al-Mawaddah

Masalah Percanggahan Dalam Periwayatan Hadith-hadith Nabi SAWA Menurut Imam Ali AS


Berkata Syaikh al-Saduq rahimahullah:

Keyakinan kami tentang hadith sahih yang diriwayatkan daripada para Imam AS adalah hadith itu selaras dengan Kitab Allah, bersesuaian dengan maknanya dan tidak bercanggah daripadanya, kerana ia ilham daripada Allah SWT. Sekiranya ia diambil selain daripada Allah, sudah pasti percanggahan tidak dapat dielakkan.

Percanggahan dalam bentuk riwayat-riwayat itu hanya disebabkan oleh beberapa sebab. Sebagai contoh jika satu riwayat tentang kifarah zihar ialah memerdekakan seorang hamba; riwayat lain pula melaporkan berpuasa dua bulan berturut-turut dan dalam riwayat yang ketiga melaporkan memberi makan enam puluh orang miskin. Semua riwayat ini adalah betul. Berpuasa diwajibkan kepada orang yang tidak mempunyai hamba untuk dimerdekakan; dan hukum memberi makan 60 orang miskin ditujukan kepada orang yang tidak mampu untuk berpuasa. Juga diriwayatkan bahawa dia hendaklah memberikan sadaqah sekadar mana yang ia mampu dan hukum ini ditujukan kepada orang yang tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan kepada 60 orang miskin.

Dan di antara riwayat-riwayat tersebut, ada yang satu menggantikan yang lain. Sebagai contoh al-Qur'an menjelaskan tentang kaffarah sumpah [bermaksud]:"....memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang hamba. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang sedemikian, maka kaffarahnya ialah berpuasa selama 3 hari." [5:89]

Apabila ketiga-tiga hukum kaffarah sumpah - pertama; memberi makan, kedua; memberi pakaian, ketiga; memerdekakan seorang hamba - hal ini mungkin ditanggap oleh orang jahil sebagai berlawanan di antara satu dengan yang lain, tetapi sebenarnya ketiga-tiga hukum itu tidak bertentangan sebaliknya setiap satu adalah alternatif kepada yang lain.

Dan di antara riwayat-riwayat itu ada yang dilaporkan dalam bentuk taqiyah.

Dilaporkan daripada Sulaym bin Qays al-Hilli, beliau berkata kepada Amirul Mu'minin Ali bin Abi Talib AS: Aku mendengar daripada Salman, Miqdad dan Abu Dzar beberapa keterangan tentang al-Qur'an dan Hadith-hadith Nabi SAWA yang berbeza daripada apa yang diketahui oleh orang ramai. Dan aku juga ada mendengar daripada anda yang menyamai apa yang aku dengar daripada mereka. Dan aku mengetahui banyak perkara di kalangan orang ramai tentang tafsiran al-Qur'an dan Hadith-hadith Nabi SAWA yang tidak diterima oleh anda dan anda menekankan bahawa semua tafsiran itu tidak betul. Adakah mungkin mereka itu menyandarkan kepalsuan kepada Nabi Allah dengan sengaja dan memberikan tafsiran dan penerangan mengikut pendapat mereka sendiri?

Perawi berkata: Dan Ali AS berkata: Anda telah bertanya [satu soalan], dan sekarang dengarkan jawapannya. Sesungguhnya orang ramai memiliki kebenaran dan kepalsuan; nasikh dan mansukh; ayat umum dan khusus; muhkam dan mutasyabih; hifz [jelas diingati] dan wahm [tidak pasti atau ragu-ragu].

Malahan semasa Rasulullah SAWA masih hidup, ada orang yang menyandarkan sesuatu kepalsuan kepada Nabi SAWA [sehingga perkara itu sampai ke suatu peringkat] Nabi SAWA bangkit menyampaikan kepada orang ramai: Wahai manusia, bilangan orang yang membuat fitnah terhadapku semakin bertambah; sekarang barang siapa dengan sengaja, maka bersedialah untuk masuk ke neraka. Selepas kewafatan beliau SAWA, Hadith-hadith palsu masih diriwayatkan.

Hadith-hadith yang sampai kepada anda melalui salah satu daripada empat sumber dan tidak ada yang kelima. Pertama, golongan munafiq yang mengaku beriman, berpura-pura Islam, tidak menganggap hal itu berdosa dan tidak peduli sekiranya dia bercakap sesuatu yang tidak benar terhadap Nabi SAWA dengan sengaja. Seandainya orang mengetahui bahwa dia itu adalah betul-betul munafiq, mereka tentu tidak akan menerima apa-apa yang mereka riwayatkan atau sanggup menganggapnya seorang yang benar. Tetapi mereka berkata: Ini adalah seorang yang bersahabat dengan Rasulullah SAWA dan pernah melihat dan mendengar daripada beliau SAWA. Lantaran itu mereka menerima Hadith-hadith daripada simunafiq ini tanpa mengetahui sikapnya yang sebenarnya.Dan Allah SWT telah memberikan pertimbangan tertentu berkenaan golongan munafiq dan telah mejelaskan kedudukan golongan ini dengan terang dan nyata. Dia [Allah SWT] berfirman [bermaksud]:" Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum,dan jika mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka.Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar." [63:4] Mereka [golongan munafiq] berpecah kepada golongan-golongan selepas kewafatan Nabi SAWA dan memihak kepada pemimpin-pemimpin dan penyeru-penyeru kehancuran dan api neraka, dengan cara penipuan dan pemalsuan dan pemfitnahan. Mereka memberikan jawatan-jawatan kepada mereka [golongan munafiq], pemimpin-pemimpin itu memperolehi keseronokan dunia melalui mereka [golongan munafiq] dan meletakkan golongan munafiq itu ke atas leher orang ramai. Umumnya orang ramai kecuali orang-orang yang dilindungi Allah SWT mengikut raja-raja dan jalan keduniaan. Ini adalah golongan yang pertama daripada empat jenis tadi.

Golongan yang kedua, ialah orang yang mendengar sesuatu daripada Nabi SAWA tetapi tidak dapat mengingatinya dengan tepat. Orang ini terjatuh ke dalam suatu kesalahan berhubung dengan perkar berkenaan, tanpa niat untuk melakukan pembohongan tersebut. Ketika itu Hadith tersebut menjadi pegangan dan amalannya. Beliau turut menyampaikan kepada orang lain dan berkata: Aku mendengarnya daripada Rasulullah SAWA. Jika orang lain mengetahui dia sebenarnya telah melakukan kesilapan, mereka tentu tidak akan menerimanya dan jika orang itu sendiri mengetahui dia sebenarnya telah melakukan kesalahan dalam meriwayatkan Hadith itu, beliau sendiri juga pasti menghentikan amalannya itu.

Golongan yang ketiga ialah orang yang mendengar daripada Nabi SAWA tentang perintah terhadap sesuatu amalan tetapi tanpa mengetahui bahawa perintah berkenaan telah dimansuhkan. Ataupun orang ini mendengar sesuatu larangan daripada Nabi SAWA tetapi tanpa disedarinya pada satu ketika yang lain telah diizinkan oleh Nabi SAWA. Oleh itu, orang ini hanya mengingati hal larangannya tetapi tidak menyedari pemansuhan hukum tersebut. Sekiranya orang ini mengetahui hal tersebut telah dimansuhkan beliau tentu akan menolak apa yang telah diamalkannya [kerana ia bercanggah dengan hukum pemansuhan tersebut] dan begitu juga jika orang lain mengetahui bahawa apa yang didengarnya daripada periwayat tadi adalah sesuatu perintah yang telah dimansuhkan oleh Rasululllah SAWA, mereka juga akan menolaknya.

Golongan yang keempat ialah orang yang tidak melakukan pembohongan terhadap Allah dan NabiNya kerana orang ini membenci kesalahan dan takutkan Allah Azza Wa-Jalla dan memuliakan Rasulullah SAWA tetapi amat mengingati apa yang didengarnya daripada Rasulullah SAWA. Oleh itu orang ini meriwayatkan apa yang didengarnya itu tanpa sebarang tokok-tambah atau pengurangan. Sekiranya dia mengetahui nasikh dan mansukh berhubung sesuatu yang diperintahkan oleh Rasulullah SAWA maka dia beramal dengan Hadith yang nasikh [membatalkan perintah] dan meninggalkan Hadith yang mansukh [apa yang dibatalkan].

Perintah-perintah Nabi SAWA sama seperti al-Qur'an, ada yang nasikh dan ada yang mansukh, khas dan am, muhkam dan mutasyabih. Dan ada kata-kata yang dilaporkan daripada Nabi SAWA mengandungi dua makna, bersifat umum dan khusus seperti juga yang terkandung dalam al-Qur'an. Allah Azza Wa-Jalla berfirman dalam KitabNya [bermaksud]:" Apa yang diberikan oleh RAsul kepadamu maka terimalah ia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah." [59:7]

Sekarang, apa yang dimaksudkan oleh Allah dan RasulNya kekal kabur kepada mereka yang tidak mengetahui. Bukan semua sahabat-sahabat Nabi SAWA mengemukakan pertanyaan kepadanya atau cuba memahaminya, kerana Allah [pada suatu ketika] melarang mereka daripaa mengajukan soalan dalam firmanNya [bermaksud]:" Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan [kepada Nabimu] hal-hal yang jika diterangkan kepadamu, nescaya menyusahkan kamu dan jika kamu menanyakannya di saat al-Qur'an itu sedang diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu. Allah memaafkan [kamu] tentang hal-hal itu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun. Sesungguhnya telah ada segolongan manusia sebelum kamu menanyakan hal-hal yang serupa itu [kepada Nabi mereka], kemudian mereka tidak percaya kepadanya." [5:101-102]. Oleh kerana itu, mereka dilarang dari megemukakan pertanyaan sehinggakan mereka rasa suka jikalau ada seorang Arab Badwi [kampung] yang datang dan mengemukakan soalan kepada Nabi SAWA, mereka dapat mendengarnya.

Aku [Imam Ali AS] sering mengunjungi Rasulullah SAWA, setiap malam, dan setiap hari [kami berdua sahaja] di mana Rasulullah SAWA akan menjawab soalan-soalanku dan aku sering mengikuti beliau SAWA ke mana sahaja beliau pergi. Sahabat-sahabat RAsulullah SAWA amat mengetahui bahawa beliau SAWA tidak memperlakukan hal yang serupa itu kepada orang lain selain daripada diriku. Dan hal ini lazimnya berlaku di rumahku. Dan bila aku mengunjungi beliau SAWA di rumah kediamannya SAWA, maka beliau SAWA akan meminta isteri-isteri beliau SAWA meninggalkan majlis kami supaya tinggal kamu berdua sahaja. Dan apabila beliau SAWA mengunjungiku, beliau SAWA akan meminta semua orang meninggalkan majlis kami kecuali Fatimah atau salah seorang daripada anakku dan apabila beliau SAWA ditanya maka beliau SAWA akan menjawab pertanyaanku itu. Dan apabila aku diam dan aku tidak mempunyai pertanyaan lagi, beliau SAWA akan memulakan penjelasan-penjelasannya pula. Demikian itu, maka tidak ada wahyu yang diturunkan kepada Nabi SAWA berkenaan ayat-ayat Qur'an, atau apa saja yang diajarkan oleh Allah SWT kepada beliau SAWA berkenaan yang halal dan haram, perintah atau larangan, ketaatan atau dosa, perkara yang lalu atau yang akan datang - tetapi beliau SAWA akan mengajar perkara-perkara tersebut kepadaku dan memintaku membacanya dan menyebutkannya kepadaku dan aku akan menuliskannya dengan tanganku sendiri. Beliau SAWA akan menjelaskan kepadaku ta'wil yang sebenarnya dan maksud yang zahir dan batin dan aku akan menetapkan perkara itu dalam ingatanku dan tidak akan lupa walaupun satu huruf daripadanya.

Apabila Rasulullah SAWA mengajarku, beliau SAWA akan melekapkan tangannya di dadaku dan berkata: Wahai Allah! Penuhkan kalbunya dengan ilmu pengetahuan, kefahaman, nur, kesabaran dan iman; ajarkannya dan jangan biarkannya berada dalam kejahilan; jadikan ia seorang yang mengingati dan tidak lupa. Aku berkata kepada beliau SAWA pada suatu hari: Smoga bapa dan ibuku menjadi tebusanmu, wahai Rasulullah SAWA! Adakah anda takutkan aku lupa? Dan beliau SAWA bersabda: Wahai saudaraku! Aku tidak takutkan kamu lupa atau jahil. Allah Azza Wa-Jalla telah memberitahukan kepadaku bahawa Dia telah menerima doa-doaku tentang dirimu dan sekutu-sekutumu, yang akan datang selepasmu. Dan aku berkata: Wahai Rasulullah, siapakah sekutu-sekutuku itu? Dan beliau SAWA menjawab: Mereka ialah orang-orang yang ketaatan terhadap diri mereka telah dikaitkan oleh Allah dengan ketaatan terhadap DiriNya dan ketaatan terhadapku. Dan aku berkata: Siapakah mereka itu wahai Rasulullah? Dan beliau SAWA bersabda: Mereka adalah orang-orang yang Allah firmankan [bermaksdu]:" Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, dan taatilah Rasul[Nya} dan ulil amri di antara kamu." [4:59]

Dan aku berkata: Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu? Beliau SAWA berkata: Mereka adalah awsiya' [pemegang wasiat] yang akan menjadi awsiya' selepasku. Mereka tidak akan berpisah [dari al-Qur'an] sehingga mereka menemuiku di al-Hawd, [mereka] memberi petunjuk dengan haq dan diberikan petunjuk dengan haq. Pembohongan daripada para pembohong tidak akan mengenai mereka atau penghinaan daripada orang-orang yang hina [tidak akan mencacatkan kemuliaan mereka]. Mereka [para Imam] adalah bersama al-Qur'an dan al-Qur'an bersama mereka; mereka tidak akan meninggalkan al-Qur'an dan al-Qur'an tidak meninggalkan mereka. Melalui mereka ummahku akan mendapat petunjuk dan melalui mereka ummah akan mendapat manfaat dan melalui mereka kehancuran dapat dihindarkan dan melalui mereka, doa-doa akan didengar.

Dan aku [Imam Ali AS] berkata: Wahai Rasulullah, sebutkan nama-nama mereka kepadaku. Beliau SAWA bersabda: Anda, wahai Ali, kemudian ini anakku dan beliau meletakkan tangannya ke atas kepala Hasan. Kemudian ini, anakku - beliau SAWA meletakkan tangannya ke atas kepala Husayn. Kemudian demi namamu wahai saudaraku, dia adalah pemimpin para pengikut yang taat; kemudian anaknya yang bernama Ali [Zainal Abidin] akan dilahirkan pada masa kamu hidup, oleh itu sampaikan salamku kepadanya. Kemudian anaknya yang bernama Muhammad al-Baqir -pembuka ilmuku, dan perbendaharaan wahyu Allah. Dan Muhammad [al-Baqir] akan dilahirkan pada masa kamu hidup[ wahai Husayn], wahai Husayn sampaikan salamku kepadanya. Dan kemudian selepasnya Ja'far [al-Sadiq]; selepasnya Musa [al-Kazim] bin Ja'far; kemudian Ali [al-Rida] bin Musa; kemudian Muhammad [al-Taqi] bin Ali; kemudian Ali [al-Naqi] bin Muhammad; kemudian Hasan al-Zaki [al-Askari] bin Ali; kemudian namanya sama dengan namaku dan warna kulitnya sama dengan warna kulitku, - al-Qa'im bi-amri'l-lah[Muhammad al-Mahdi]di zaman yang terakhir, pemimpin yang benar, yang akan memenuhi dunia ini dengan keadilan sebagaimana sebelumnya ia dipenuhi dengan kezaliman. Aku bersumpah dengan nama Allah, wahai Sulaym, bahwa orang ramai akan memberi bai'ah kepadanya di antara Rukun dan Maqam dan aku megetahui nama-nama mereka yang akan menyokongnya dan aku mengetahui suku mereka.

Sulaym bin Qays berkata: Pada suatu hari aku berjumpa Imam Hasan dan Husayn di Madinah selepas Muawiyah berkuasa dan aku meriwayatkan kisah ini kepada mereka daripada bapa mereka. Kedua-dua mereka berkata: Engkau berkata benar. Amurul Mu'minin [Ali AS] telah meriwayatkan kisah ini kepada kami ketika itu kami sedang duduk dan kami ingat kisah ini daripada Rasulullah SAWA sebagaimana kamu riwayatkan itu dan tidak ada satu patah perkataan yang telah ditambahkan atau dikurangkan. Dan Sulaym bin Qays berkata: Pada kemudian hari aku menemui Ali bin Husayn dan anaknya Muhammad al-Baqir yang pada ketika itu bersama-samanya, dan aku meriwayatkan kepadanya apa yang aku telah dengar daripada bapanya dan beliau [Imam Ali Zainal Abidin AS] berkata: Aku telah mendengarnya daripada Amirul Mu'minin [Ali AS] yang telah mendengarnya daripada Rasulullah SAWA, ketika itu beliau sedang sakit dan aku masih kanak-kanak. Kemudian Abu Ja'far [Imam Muhammad al-Baqir AS] berkata: Dan ketika datukku menyampaikan salam Nabi SAWA kepadaku, aku masih kanak-kanak.

Aban bin Abi 'Ayyash berkata: Aku telah meriwayatkan seluruh kisah ini sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Sulaym bin Qays al-Hilali kepada Imam Ali bin Husayn AS dan beliau berkata: Dia [Sulaym] bercakap benar. Jabir bin Abdillah al-Ansari [w.78H] pada suatu ketika menemui anakku Muhammad al-Baqir [lahir 3 Safar 57H], ketika itu [anakku] sedang belajar dan beliau menciumnya dan menyampaikan salam Rasulullah SAWA.

Aban bin Abi 'Ayyash berkata: Suatu ketika aku pergi menunaikan Hajj selepas kewafatan Imam Ali Zainal Abidin b.Husayn AS, dan aku menemui Imam Muhammad al-Baqir AS dan aku meriwayatkan kisah ini keseluruhannya kepada beliau sepertimana yang diriwayatkan oleh Sulaym bin Qays dan kedua mata beliau digenangi air dan beliau AS berkata: Sulaym, semoga Allah megasihinya, telah bercakap benar. Sulaym telah datang menemui bapaku selepas datukku al-Husayn dibunuh dan aku hadir ketika beliau meriwayatkan kisah ini dan bapaku berkata kepadanya: Demi Allah, anda telah bercakap benar, wahai Sulaym. Bapaku juga telah meriwayatkan kisah ini kepadaku daripada Amirul Mu'minin [Ali bin Abi Talib AS].

(Dipetik dan diterjemahkan dari I"tiqadatu'l-Imamiyyah oleh Abu Ja'far Muhammad ibn Ali ibn al-Husayn Ibn Babawayh al-Qummi, hlm.105-112, WOFIS,1982)